Apa itu 'Work Alienation'?
Kredit imej: Google.com
Konsep Alienation
Perkataan ‘alienation’ atau keterasingan boleh dibincangkan kepada dua konteks, iaitu konteks bahasa dan konteks istilah. Dari segi bahasa, ia bermaksud ‘terpisah’ atau ‘terasing’ daripada sesuatu. Misalnya, Fromm (1955) dalam Farahbod et. al (2012) menerangkan ‘alienation’ ialah apabila seseorang menganggap dirinya seorang makhluk yang asing. Horowitz (1966) dalam Farahbod et.al (2012) kemudiannya membahagikan definisi ‘alienation’ kepada tiga iaitu terasing dari dunia, terasing dari masyarakat dan terasing dari idea orang lain mengenai dunia. Dari segi istilah pula, Marx (1844) melihat ‘alienation’ ini adalah bentuk ‘estrangement’ daripada kerja dan kehidupan para pekerja.
Sejarah ringkas Teori Keterasingan Marx
Sebelum Marx, wujud beberapa tokoh yang turut menyentuh berkaitan dengan tenaga buruh dan masa mereka. Tokoh utama ekonomi klasik, dalam West (1969) mengatakan bahawa Adam Smith telah mengagaskan ‘division of labour’ atau pembahagian tenaga buruh dimana setiap peringkat penghasilan sesuatu produk itu memerlukan tenaga seseorang individu secara spesifik. Ertinya, kemahiran seseorang itu akan lebih terarah kepada satu-satu proses pembuatan. Oleh yang demikian, ini secara tidak langsung memisahkan diri seseorang pekerja dengan pekerja yang lain apabila hanya seorang yang ditugaskan melakukan proses tersebut serentak dengan proses pembuatan produk yang lain.
Kredit imej: Google.com
Manakala Banifetemeh dan Rasouli (2011) dalam Farahbod et.al. (2012) berpendapat bahawa Hegel dan Marx ialah pelopor kepada teori tersebut. Hegel melihat manusia sememangnya boleh merasa asing daripada dirinya. Hal ini boleh dilihat sebagai suatu perbincangan awal mengenai eksistentialisme iaitu kesedaran diri. Menggabungkan konsep Smith dan Hegel, Marx menarik kedua-dua idea ini menjadi satu lalu digabungkan dengan konsep pembahagian kelas; melahirkan teori keterasingan beliau pada 1886.
Marx mengkategorikan keterasingan ini kepada empat bentuk;
Keterasingan daripada produk yang dihasilkan
Keterasingan daripada proses penghasilan produk
Keterasingan daripada rakan sekerja dan masyarakat
Keterasingan daripada diri
Keterasingan daripada produk yang dihasilkan
Secara mudahnya, ia merujuk kepada keterasingan pekerja terhadap produk yang dihasilkannya. Seseorang pekerja itu seolah mesin yang hanya ditugaskan mencipta tanpa ada perasaan yang timbul semasa menghasilkan produk tersebut seperti perasaan gembira dan puas hati.
Kredit imej: Giphy.com
Keterasingan daripada proses penghasilan produk
Seseorang pekerja itu terpisah dari proses penghasilan produk, dimana mereka hanya menurut arahan yang telah diberikan dan melakukannya atas rutin dan keperluan kewangan, bukannya atas kemahuan diri. Malah, ini turut merangkumi proses intelektual seperti merekabentuk sesuatu produk menuruti rekabentuk yang telah ditetapkan oleh pihak majikan.
Kredit imej: Google.com
Keterasingan daripada rakan sekerja dan masyarakat
Seseorang pekerja boleh terasing atau mengasingkan diri daripada rakan sekerja dan masyarakat kerana beban kerja membelenggu minda, fikiran dan jiwanya sehingga tidak mampu menyeimbangkan hal-hal kerja dengan hal-hal kehidupan sosial.
Keterasingan daripada diri
Seseorang pekerja juga boleh terasing dari diri sendiri. Persepsi mereka terhadap diri berubah daripada menjadi seorang individu kepada seseorang yang asing dari hidupnya. Selain itu, mereka juga boleh memandang diri mereka seolah tidak lagi 'hidup' sebenar-benarnya sebagai manusia yang bebas. Perkara inilah yang memuncakkan perasaan-perasaan negatif dalam jiwa seseorang pekerja.
Kredit imej: Giphy.com
Rujukan:
Farzin Farahbod. Mohammad Reza Azadehdel. Mehrdad Goudarzvand Chegini. Azam Noyan Ashraf. 2012. Work Alienation: Historical Background, Concepts, Reasons and Effects. Journal of Basic and Applied Scientific Research. 2.(8). Textroad Publication.
Marx, K. Economic and Philosophical Manuscripts of 1844. https://www.marxists.org/archive/marx/works/1844/manuscripts/labour.htm. Diakses pada 14 April 2017.
West, E.G. 1969. The Political Economy of Alienation: Karl Marx and Adam Smith. Oxford Economic Papers , New Series. 21.(1). Oxford University Press.